~you are my bestest buddies~

Al-Fatihah : Allahyarham Along ( 21 April 1974 - 9 Ogos 2013 )

Assalamualaikum and Hello readers.

Lama aku biarkan blog tanpa sebarang update. Alhamdulillah, setakat hari ini aku dan bayi dalam kandungan sihat walafiat. Hari ini sudah masuk hujung bulan Syawal dan aku memang langsung tidak meraikan hari raya tahun ini. Mana ada aku beli baju raya. Kuih raya pon tidak berbuat. Aku fikirkan aku tak mahu bergembira sangat sebab aku kehilangan adikku Ezam pada bulan Januari lalu. Tapi aku tak sangka yang aku juga kehilangan seorang abang pada hari raya tahun ini. Betul-betul buat aku langsung tidak beraya tahun ini.


Along sempat menghadirkan diri di majlis bertandang aku.

Along, abang kandungku yang sulung. Emras bin Embok Zrik namanya. Along meninggal pada usia 39 tahun dan meninggalkan 2 orang anak dan isterinya, Kak Ana. Along meninggal dunia akibat kanser peparu tahap 4. Yaa!! Dia merokok! Perokok tegar! Bukan kami tak pernah larang. Tapi katanya, dia sudah tidak boleh berhenti merokok lagi. Entahlah, dah ajalnya tiba awal, apakan daya. Kita tak boleh nak berbuat apa-apa.



Tapi kami sekeluarga bersyukur kerana Along tidak menderita terlalu lama. Hanya lebih kurang 3 bulan sahaja dia mengidap kanser peparu tersebut. Sewaktu aku berkahwin bulan Mei lalu, Along dimasukkan ke hospital akibat batuk berdarah. Sebelum tu, Along memang dah lama batuk tidak sembuh-sembuh. Aku rasa lebih 6 bulan Along batuk-batuk. Hinggalah tiba di minggu-minggu pernikahan aku, Along cakap dia tak dapat nak turut serta sewaktu majlis pernikahan aku kerana dia dimasukkan dalam wad akibat batuk berdarah. Mulanya aku sedikit kecewa kerana Along sekeluarga tidak dapat datang. Manakan tidak, adik aku Ezam sudahlah tiada. Inikan pulak Along tak dapat nak datang. Tapi aku cuba memahami keadaan dia.


Kami sempat makan angin sama-sama semasa datang ke negeri Kelantan.


Hari pertama Along masuk wad.

Sejurus selesai majlis persandingan aku di Ampang 18 Mei 2012, esoknya hari Ahad kami sekeluarga terus ke Kluang Johor untuk melawat Along. Aku lihat dia kelihatan kurus. Dah la Along dah sememangnya kurus. Makin kurus aku lihat dia. Ketika itu, kami langsung tidak mengetahui tanda-tanda awal kanser peparu. Tapi mulanya doktor syak Along menghidap batuk kering (TB). Selepas beberapa sampel sel kahak dan sel dalam leher Along diambil, Along didapati negatif TB. Along diarahkan untuk rujuk pada Hospital Pakar di Johor Bahru memandangkan hospital di Kluang tidak mempunyai pakar yang boleh menganalisis penyakit Along. Jadi, Along terpaksa mengambil cuti sakit yang banyak sehingga mengganggu tugasnya di kilang. Kesian Along. Tapi dia berusaha jugak berulang alik dari Kluang ke Johor Bahru. Bukannya dekat. Malah jauh hendak memandu dalam keadaan yang tidak sihat sepenuhnya.

Lebih kurang dalam tempoh satu bulan selepas tu, Along dimasukkan ke dalam wad sekali lagi untuk mengambil sampel sel di peparunya. Waktu ni, Emak boleh dikatakan setiap 2 minggu sekali mesti melawat Along. Berulang alik Emak dari KL ke Johor. Bila dengar je proses mengambil sampel sel dalam peparu tu menyakitkan, Along jadi takut dan gerun. Selalu jugak Along call aku dan Angah. Dia cakap dia takut nak hadapi proses tu. Doktor akan 'tembak' satu jarum kecil ke dalam peparu Along dan menariknya semula jarum tersebut. Proses tu dilakukan dalam keadaan sedar dan separa bius. Entah! Tak dapat aku bayangkan macam mana rupanya proses tersebut. Sedangkan Along yang tegas tu pon boleh takut, inikan pulak aku yang lembik mendengar. Sangat gerun!

Selepas daripada proses itulah, Along disahkan mengidap kanser peparu. Tapi doktor belum mengesahkan lagi kanser tersebut tahap berapa dan setakat mana Along mampu bertahan. Bayangkan dalam tempoh 2 bulan aku berkahwin, dan dalam tempoh itu jugak lah Along menderita sakit. Along makin kurus. Sekurus-kurusnya! Banyak kali aku pergi Johor untuk ziarah Along. Emak apetah lagi! Setiap kali ziarah, mesti banyak sangat perubahan fizikal berlaku pada Along. Kalau dia tidak berbaju, aku boleh nampak dan kira satu persatu tulang rusuknya. Betapa kurusnya Along. Ketika itulah, Along cakap Along dah tak boleh bau rokok. Along fobia. "Kalaulah Along tahu Along nak sakit macam ni, Along tak merokok, kak!". Dia panggil aku, Kakak. Masa tu aku teringat arwah Ezam. Dia pon merokok jugak satu ketika dulu. Lama bertahun-tahun jugak jadi perokok tegar. Tapi, satu masa tu dia berhenti tiba-tiba. Arwah Ezam cakap dia takde ambil apa-apa ubat tapi memang dia nak berhenti merokok. Arwah Ezam cakap, "Ezam rasa macam Ezam bakar duit je, kak!" Bijak adik aku. Mungkin masa tu baru dia tahu akan ketinggian nilai kesihatan dan wang ringgit. Alhamdulillah.... Tapi Along, hari ini dia meninggal kerana rokok!

Sepanjang bulan Ramadhan, Along selalu mesej dan call aku, Angah dan Emak. Dia selalu cakap yang dia mahukan Emak disisinya. Along selalu meluahkan perasaan takutnya akan kematian pada aku. Hingga hari ini, aku masih simpan mesej-mesej Along dalam handphone aku. Bila baca semula, mesti aku menangis. Banyak kali aku nasihatkan Along yang dia patut bersyukur kerana sakit. Setidak-tidaknya jika kita hampir dengan kematian, kita sempat nak bertaubat dan memperbaiki amal ibadah. Along ada cakap, dia selalu berdoa dalam solatnya agar dimatikan dalam keadaan yang baik.

"Along patut rasa bersyukur taw Along sakit sekarang ini. Semua orang takut mati. Orang yang banyak amal solehnya pon mesti ada rasa takut untuk mati. Sebab kita macam tak cukup-cukup masa untuk beramal ibadah. Kalau Along dah selalu buat solat wajib, tambah-tambahkanlah pahala dengan solat sunat pulak. Along banyakkan berzikir ye... Ingat Allah... InsyaAllah, kakak yakin Along takde pape", aku hanya mampu menyedapkan hati dia sahaja. Ada jugak aku cuba bantu Along berubat. Aku cari dalam internet ubat yang boleh mengurangkan kansernya. Aku ada belikan biji aprikot yang maha pahit rasanya. Tapi kesannya Along makin pening dan hampir pitam kerana ubat terlalu pahit dan tak pasti sukatan yang betul. Selain tu, aku ada dapat bantuan dari seorang sahabat, Muaz. Aku beli sebiji botol Monavie darinya dan dia beri lagi satu botol percuma. Pada aku, Monavie memang minuman berkhasiat. Tetapi kami tidak berkemampuan untuk menjadikannya minuman harian. Harganya sedikit mahal. Along kata, dia sedikit bertenaga lepas minum Monavie. Alhamdulillahhh....

Minggu pertama bulan Ramadhan, aku ada turun Johor dan berbuka puasa bersama-sama dengannya di hospital. Hinggalah masuk minggu terakhir bulan puasa, aku mendapat perkhabaran yang Along sudahpun berada di tahap 4 kanser peparu. Terus aku google mengenai kanser peparu ni. Kini barulah aku tahu bahawa kanser peparu merupakan kanser yang kita tidak akan dapat kesan di awal waktu. Kanser peparu hanya dapat dikesan tanda-tanda sepenuhnya apabila pesakit sudah berada di tahap 4. Berbeza pula dengan kanser payudara dan sewaktu dengannya. Kanser payudara dapat dikesan dari awal dan boleh dicegah dan dirawat jika sudah kelihatan tanda-tanda awalnya. Dan, jangka hayat untuk pesakit kanser peparu selalunya bergantung kepada umur pesakit dan sokongan daripada pihak keluarga. Hasil pembacaan aku di google, ada yang mampu bertahan 2-3 bulan, ada juga 3-4 tahun. Tapi yang 3-4 tahun ni, hidupnya lebih menderita dalam erti kata lain, pesakit ini hanya akan menyusahkan mereka yang masih hidup.

Pada minggu terakhir bulan puasa, Emak awal-awal lagi sudah gerak ke Johor untuk menjaga Along di hospital. Emak telefon aku beritahu keadaan Along. Kata Emak, Along bertambah kurus. Ketika itu, Along sudah tidak mampu berdiri lagi. Kakinya kurus seperti orang yang tidak makan bertahun-tahun. Along sudah tidak mampu untuk membuang air dengan sendiri sehingga dia diarahkan untuk memakai lampin orang dewasa. Along juga tidak boleh lagi makan makanan seperti biasa. Dia hanya boleh minum susu melalui hidung. Ya Allah.... begitu cepat perubahan yang berlaku pada Along. Sewaktu Emak beritahu perkembangan Along dari sana, aku yang di KL ni hanya mampu mengalirkan air mata dan seperti mahu terbang segera ke Johor untuk melihat keadaan Along. Benarlah seperti apa yang aku baca dalam blog-blog orang lain tentang keadaan orang-orang yang mengidap kanser peparu. Sama sangat seperti cerita Emak.


7 OGOS 2013 - 3 PM
Satu hari sebelum raya, aku dan Faiz bertolak ke Johor. Emak kata Along dibenarkan keluar dari hospital untuk berhari raya bersama keluarga dengan syarat Along mesti dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk menjalani proses radioterapi selama 5 hari berturut-turut. Aku hairan. Kenapa nak bawa Along keluar. Kalau jadi apa-apa padanya kalau berada di rumah, siapa nak tolong? Aku tak kisahpun kalau beraya di hospital bersama Along. Kak Ana, kakak iparku kata anak-anak dia nak beraya dengan Along. Allah.... mereka sebenarnya sudah lama tak jumpa ayah mereka sejak Along masuk hospital. Sesampai sahaja aku di rumah Along di Machap azan Maghrib terakhir bulan Ramadhan baru sahaja berkumandang. Aku lihat dia terbaring di atas tilam di ruang tamu. Nafasnya tersekat-sekat. Dia sudah tidak mampu untuk bercakap dengan jelas. Waktu aku bersalaman dengan Along, menitik-nitik air mata aku melihat keadaan Along. Semua orang dalam rumah tu memandang aku biasa saja. Mungkin mereka sudah puas menangis melihat keadaan Along sedangkan aku baru sahaja dapat melihat keadaannya.


7 OGOS 2013 - 7.30PM
Sewaktu berbuka di dapur, Emak cakap, Along tidak tahu pon yang dia mengidap kanser tahap 4. Jadi, kami perlu berhati-hati sewaktu bercakap dengannya supaya semangatnya tidak patah. Emak kata lagi, doktor ada memberi tempoh yang Along mampu hidup dalam tempoh lagi 2-3 tahun. Alhamdulillah, waktu tu aku bersyukur kerana Along masih diberi tempoh waktu untuk beramal atau paling tidak pon jika tidak mampu, Along masih mampu untuk berzikir padaNya.


8 OGOS 2013 - 3 AM
Malam raya tu, semua orang tidur di ruang tamu. Masing-masing kepenatan akibat memandu jauh. Apa yang aku tahu, esok jam 10 pagi waktu semua umat Islam sedang seronok beraya makan ketupat dan lemang, kami semua perlu bergerak ke Hospital Sultan Ismail JB untuk temujanji rawatan radioterapi Along. Sewaktu jam menunjukkan pukul 3 pagi, macam biasa aku mesti terjaga dari tidur untuk bangun ke tandas membuang air kecil. Sejak aku mengandung, inilah rutin harian pagi-pagi buta. Masa nak tidur semula, aku tak boleh nak lelapkan mata. Lalu, aku berpusing mengadap tilam Along tidur. Tiba-tiba, aku nampak tangan Along macam terkapai-kapai. Eh, rupanya Along belum tidur. Atau Along terjaga dari tidur. Aku bingkas bangun pergi ke tempat Along. Kesian Along. Rupanya dia kehausan. Mungkin kesan dari radioterapi yang sudah 2 hari dibuat ni. "Along nak minum air?" Along mengangguk. Aku pergi ke dapur mencari segelas air dan straw. Aku papah Along untuk duduk. Kesian Along. Benar-benar dia lemah sampai tak boleh duduk dengan sendiri. 

Aku suakan straw pada mulutnya. Along tidak boleh minum dengan baik sejak akhir-akhir ini. Doktor kata injap saluran makanan Along sudah tidak berfungsi. Jadi, setiap kali minum, mesti akan keluar semula sebab injap sudah tiada. Along terpaksa mendongak setiap kali air masuk dalam mulut untuk memastikan air terus masuk ke dalam badan dan tidak terkeluar dari mulut. Bergenang air mata aku ketika itu. Selesai minum, Along cuba nak bercakap dengan aku. Bunyinya tersekat-sekat. Tapi aku cuba nak dengar dan fahamkan. "Nasib baik Kakak belum tidur. Along tak tahu nak berborak dengan siapa", Along cuba sampaikan satu persatu. "Laaaa.. Along tak tidur dari tadi ke?", tanya aku. "Sejak sakit, Along memang susah nak tidur Kak". Aku tak tahu nak borak apa pagi-pagi buta jam 3-4 pagi dengan Along. Tapi dia kelihatan lega bila nampak aku datang dekat dengannya. Mungkin dia tak larat nak kejutkan Kak Ana yang tidur di sebelahnya. Lebih kurang setengah jam Along duduk, dia angkat tangannya dan letak atas bahu aku. Dia seperti mahu berpaut pada bahu untuk baring semula. Aku terpaksa mengeraskan badan. Along berat jugak. Faiz melarang aku angkat benda-benda berat semenjak aku mengandung. Tapi bila Along berpaut pada aku, aku tahankan sahaja. Kemudian, Along tidur lelapkan mata. Aku pon sambung tidur dan berbaring di sebelah Faiz sampai Subuh pagi itu.

8 OGOS 2013 - 8 AM
Walaupun tidak seperti berhari raya, kami bersiap-siap juga memakai baju kurung dan berbaju melayu walaupun bukan yang baru. Emak tetap menyediakan ketupat, lemang, dan rendang sebagai sarapan pagi kami hari itu. Sewaktu sedang bersarapan, selesai sahaja Kak Ana menyiapkan anak-anaknya, Kak Ana hendak menyiapkan suaminya pula sebab sebentar lagi kami akan terus bergerak ke JB untuk rawatan radioterapi Along. Puas Kak Ana kejutkan Along untuk sedar dari tidur tapi Along tidak terjaga. Kak Ana panggil aku yang tengah menjamah lemang di dapur. Oh, mungkin Kak Ana nak mintak tolong aku papahkan Along ke bilik air untuk mandi. Aku cuci tangan dan pergi ke ruang tamu. Aku nampak mata dan hidung Kak Ana sudah kemerahan. Dah kenapa pulak ni?? "Kakak!! Along taknak bangun. Selalunya kalau Kak Ana kejut untuk mandi, Along mesti bukak mata", suara Kak Ana dah macam orang hampir menangis. Aku pula panik. Aku gerakkan Along sedikit kasar. Along masih bernafas tetapi tersekat-sekat. Aku menjerit panggil semua orang di dapur. Emak dah mula teresak-esak menangis. Anak-anak lelaki Along yang baru memasuki Darjah 3 dan Darjah 1 masing-masing menangis walaupun dia tidak tahu apa-apa. 

8 OGOS 2013 - 9 AM
Barulah semua orang sedar akan kesilapan masing-masing yang Along tidak dipakaikan gas oksigen sepanjang Along duduk di rumah itu. Sedangkan tong oksigen sudah pon disewa dari pihak hospital dan hanya terletak di tepi sudut rumah. Padahal sewaktu Along dimasukkan ke dalam wad sendiri pon masih berbantukan gas oksigen inikan pula apabila berada dirumah. Lantas Kak Ana cepat-cepat pasangkan oksigen dan menyuakan pada hidung Along. 15 minit lepas tu, barulah kami lihat nafas Along tidak lagi tercungap-cungap. Marah Emak akan kealpaan masing-masing. Ini tidak boleh jadi! Along mesti dibawa ke hospital juga. Kami terpaksa meminta bantuan ambulans untuk bawa Along ke hospital JB. 

8 OGOS 2013 - 10 AM
Along masih tidak membuka matanya. Sewaktu ambulans tiba, pegawai perubatan itu mengambil sampel darah Along dan dia cakap Along tidak boleh dihantar ke JB kerana terlalu jauh. Jadi, hospital yang terdekat hanyalah di Kluang. Kami terpaksa akur sedangkan Along mesti menjalani rawatan radioterapinya pagi itu. Along dimasukkan ke dalam ambulans. Kami mengekori dari belakang sahaja. Dalam kereta, aku bertanya pada Angah. "Angah, sampai bila keadaan Along nak macam ni? Takkan 2-3 tahun pon macam ni jugak? Kita bawak dia tinggal kat KL je la...". Angah hanya diam. 

Setibanya kami di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang, Along dimasukkan ke wad kecemasan. Aku lihat doktor sudah menebuk saluran kencingnya dan ada satu pek kosong untuk menadah air kencing sudah diletakkan di sisi katil. Bergenang air mata aku. Kami tidak dibenarkan masuk dalam wad kecemasan. Tapi banyak kali juga kami mendengar pengumuman dari pihak hospital yang memanggil waris Along untuk masuk ke dalam atas beberapa sebab. 


sewaktu Along hampir nazak


8 OGOS 2013 - 12 PM
Doktor mengarahkan Along dimasukkan ke wad biasa. Kami hanya tunduk akur sahaja. Kalau di hospital Kluang ni selesa sikit berbanding Hospital Sultanah Aminah di JB. Di sana katilnya terlalu sempit dan disusun rapat-rapat. Kerusi untuk pelawat pon tidak boleh mencelah masuk kerana terlalu sempit. Tak dapat aku bayangkan macam mana Emak menjaga Along berhari-hari sewaktu Along dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah ni.

Setibanya kami di wad, aku lihat nurse kelam kabut memasang satu alat seperti radar untuk melihat degupan jantung Along dan memasang alat bantuan pernafasan oksigen pada hidung dan mulut Along. Aku mula panik. Dengan bunyi beep-beep yang menggerunkan. Pada aku, ia macam satu alat untuk melihat samada manusia masih bernyawa atau tidak. Sampai tahap itu Along sudah dipasangkan alat tersebut. Aku hairanlah. Doktor cakap Along boleh bertahan lagi 2-3 tahun. Kalau dah pakai macam ni, sampai bila pulak Along kene duduk sini? 

Hari itu merupakan hari raya pertama. Jadi, hospital itu memang dikunjungi dengan ramai pelawat. Kami jadi tidak selesa apabila semua orang memandang ke arah katil Along. Sebab pesakit yang lain semuanya sedar dan sedang duduk berbual dengan pelawat masing-masing sedangkan Along terbaring tanpa sedar. Malah siap dipasangkan alat degupan jantung lagi. Sudahlah berbunyi-bunyi. Memang mampu menarik perhatian setiap mata yang ada disitu. Kami menghadang katil Along dengan tirai yang sedia ada. Kesian pulak rasanya macam jadi bahan tontonan orang lain di situ.

8 OGOS 2013 - 2 PM
Aku, Emak dan Angah duduk dia atas lantai bersandarkan dinding di tepi katil Along. Perut sudah lapar. Manakan tidak. Aku makan sarapan tidak habis. Cafe di hospital pulak tutup kerana cuti umum. Mata aku tidak lari jauh selain dari memandang Along dan memandang alat degupan jantung itu. Kadang bacaannya ada naik... Ada yang mendatar.. Ada yang turun naik, turun naik. Aku bukan dari bidang perubatan. Jadi, aku tidak tahu cara membaca alat itu. Aku bertanya pada nurse disitu akan cara membaca alat itu. Sambil nurse tu tunjukkan guna jarinya, "Kalau bacaan yang atas ni atas 200 dan bawah 80 tidak normal. Tapi sekarang ni kalau kita tengok bacaan alat ni 113. Maknanya normallah patient ni." Nurse tu berlalu pergi. Aku cuba praktikkan apa yang aku pernah belajar subjek biologi dulu. Mungkin alat ni untuk mengesan kadar degupan jantung manusia dalam tempoh seminit. Jadi sekarang bacaan pada alat tu menunjukkan 113-120 degupan perminit. Mungkinlah! Aku tak pasti.

8 OGOS 2013 - 3 PM
Kak Ana sekejap-sekejap dia lapkan badan dan muka Along. Dia bancuhkan susu untuk Along minum melalui hidung. Tiba-tiba aku dengar alat tu mengeluarkan bunyi beep yang agak laju. Aku lihat bacaan pada alat itu melebihi 200 dan berwarna merah menyala seperti tanda amaran. Dalam pada masa yang sama, aku nampak dada Along berombak kencang. Kami semua panik. Angah menekan butang memanggil nurse untuk pantau keadaan Along. Lama betul nurse nak sampai. Setibanya nurse di katil Along, bacaan alat tersebut kembali turun pada 150 dan berwarna putih semula. Nurse tu terpinga-pinga dan memandang kami macam kami menipu dan sengaja main-main tekan butang kecemasan tu. Geram jugak aku bila dia cakap, "Haa.. kenapa? Tu normal je tu!". Nak je aku cakap, "Ko tu lambat sangat sampai!". Kemudian, kami kembali lega. 

Tidak sampai setengah jam dari kes tadi, tiba-tiba bacaan degupan jantung jadi mendatar seperti sudah mati..... Tiada turun naik seperti tadi. Sekali lagi, kami panik dan panggil nurse. Kali ni nurse datang cepat. Aku tengok dia relax. Dia kata sensor tak detect degupan jantung. Pengepit sensor di jari telunjuk Along diperbetulkan kedudukannya dan kemudian barulah bacaan heartbeat tadi berjalan semula dan mula menunjukkan turun naik. Kejadian ini berulang lebih kurang 3-4 kali juga. Dan setiap kali itu jugaklah kami masing-masing panik dan mengalirkan air mata. Boleh kena sakit jantung la jugak kalau hari-hari panik macam ni. 

8 OGOS 2013 - 4 PM
Sedang aku duduk-duduk atas lantai dengan Emak dan Angah, tiba-tiba nurse sedikit berusia datang untuk pantau keadaan Along. Sambil-sambil dia tengok tekanan darah dan keadaan Along nurse tu cakap macam ni, "Kalau nak mula baca Yaasin dah boleh lah ni. Nanti tutup-tutup je tirai ni nanti," Ya Allah, jantung aku pulak macam nak gugur bila nurse cakap macam tu. Yang Emak dah mula menangis. Eh, semua oranglah menangis. Faiz pon aku lihat air matanya bergenang. Kesian jugak kat suami aku ni. Tahun ni tahun pertama aku beraya dengan dia sebagai suami isteri. Tetapi dia tak kesah pon akan semua tu. Terima kasih Allah sebab mengurniakan aku suami yang memahami. 

Emak memang sudah duduk di tepi katil Along sambil membacakan Yaasin. Kami yang lain masih terpinga-pinga. Adakah nurse tu sudah mendapat tahu yang Along akan pergi tidak lama lagi? Terlalu berselindung lah nurse ni. Kalau dah tahu Along nak pergi bila, bagitahu jela... Dia bagi kata-kata bunga macam tu, memang kami sedih dan terpinga-pinga. Kami mula menelefon saudara mara sekitar Johor. Memang ramai saudara mara kami di Johor ni. Apabila mereka mendapat tahu yang Along kini sedang tenat, masing-masing marahkan kami kerana tidak beritahu mereka dari awal. Memang kami sengaja tidak mahu beritahu saudara mara yang lain. Emak kata, Emak tidak mahu susahkan sesiapa. Emak tidak mahu meraih simpati orang lain sedangkan Emak masih mampu untuk jaga Along. Betapa kuat dan tabahnya Emak. ='(

8 OGOS 2013 - 8 PM
Sedikit demi sedikit saudara mara kami datang dan pergi menziarahi Along. Ada yang membisikkan kat telinga aku, yang Along mungkin tidak bertahan lama. Ada yang tolong bacakan Yaasin. Ada yang menangis melihat keadaan Along. Manakan tidak. Mereka mengenali Along dengan tegasnya, garangnya, gurauannya. Tetapi hari ini mereka cuma dapat lihat keadaan Along terlantar di katil hospital dengan nafas yang tersekat-sekat. 

Aku sudah kelaparan. Satu hari tidak makan. Aku dan Faiz mintak izin untuk keluar dari hospital untuk mencari kedai makan yang bukak pada hari raya pertama. Hospital Kluang ni dah la berada di kawasan pedalaman. Jauh dari bandar. Alhamdulillah, tidak jauh dari situ, kami ada nampak restoren yang bukak pada cuti-cuti umum macam ni. Lama betul kami menunggu order sampai. Aku tidak mahu terlepas peluang bersama Along jika aku berlamaan di kedai makan tu. Hampir jam 10, baru pesanan kami nasi goreng 5 bungkus siap. Lama sungguh! 

8 OGOS 2013 - 11 PM
Setibanya kami di hospital, aku lihat saudara mara bersilih ganti datang menziarahi Along. Kali ini nenek aku yang sudah uzur berkerusi roda pon turut datang. Jarang aku lihat dia menangis. Ketika itu, keluargaku yang selebihnya tinggal di KL masih dalam perjalanan ke Kluang. Puas aku SMS mereka suruh datang secepat mungkin. Takut tak sempat nak tengok Along. Aku lihat Along semakin lemah. Aku sudah tiada daya lagi hendak menangis. Mata pun sudah bengkak. Emak masih lagi dengan surah Yaasin. Kak Ana pulak tidak putus-putus membisikkan macam-macam ke telinga Along. Jam menunjukkan 12 tengah malam. Semua orang beransur pulang. Kami masih mahu tinggal di sini menanti berita yang belum pasti. Kadang-kadang aku pergi dekat Along dan memanggilnya. Matanya terbuka seperti biasa bila dia dengar namanya diseru. Tapi dia bernafas tercungap-cungap melalui mulut. "Alongggg!! Along dengar tak Kakak panggil Along ni? Along dengar tak? Kalau Along dengar, Along kelipkan mata". Along mengelipkan biji matanya sekali tanda dia mendengar namanya diseru. Aku lega. 

9 OGOS 2013 - 12.30 AM
Hari sudah masuk hari kedua bulan Syawal iaitu pada hari Jumaat. Badan masing-masing berlengas tidak mandi. Suasana mula sunyi. Pesakit lain semuanya sedang tidur dilamun mimpi. Kami sekeluarga masih duduk di sekeliling katil sambil menanti perubahan pada Along. Aku lihat bacaan degupan jantung Along sudah turun bawah 80. Aku semakin takut. Emak semakin kuat membacakan Yaasin. Aku lihat Along tidak lagi tercungap-cungap seperti tadi. Setiap 5 minit aku perhatikan bacaan pada alat degupan jantungnya semakin turun. Kali ini 60 dan kemudian turun kepada 48. Bacaan bertukar kepada merah dan alat itu berbunyi mengeluarkan tanda amaran. Sekali lagi kami semua panik. Jika tadi, bacaan melebihi 200. Kali ini bawah 50 pulak. Aku lihat dada Along tiada lagi berombak kencang. Perlahan yang amat turun naik nafasnya. 5 minit kemudian aku lihat, bacaan alat tersebut semakin laju turun kepada 38, 25, 17 dan kali ini aku lihat dengan mata kepala aku sendiri, bacaan turun bawah 10 dan kali ini berkelip-kelip. Semua orang mula teresak-esak menangis. Tidak terkecuali aku. Bacaan jadi 5 bertukar kepada 4 kemudian 3, 2 dan akhirnya 0. Aku lihat graf tersebut mendatar dan bergaris halus panjang dan mengeluarkan bunyi beep yang panjanggggggg tanpa henti. 

9 OGOS 2013 - 12.45AM
Kali ini aku lihat dadanya tidak lagi berdegup. Kaki Along terasa hangat. Tangan aku memegang erat tangan Angah. Sama seperti aku lakukan semasa kematian Ezam, Januari lalu. Seorang doktor lelaki berbangsa Cina datang untuk memeriksa keadaan Along. Aku cuma perhatikan saja kelakuan doktor itu. Dia cuba mendengar degupan jantung Along melalui steteskopnya. Di saat doktor itu mencabutkan steteskop itu dari telinganya, terus aku bersuara, "Macam mana doktor?". Dia membalas, "Semua orang sudah tahu kan yang dia memang sakit?". Kami semua mengangguk dan aku bertanya lagi walaupun aku sudah tahu apa yang berlaku, "Jadi doktor, macam mana?". Jawapan terakhir yang aku dengar dari mulut doktor itu, "Jadi, sekarang dia sudah meninggal!" Kali ini Emak terduduk mendengar jawapan dari doktor itu. Angah memelukku erat dan cuba tutup mulut aku yang kini aku menangis paling kuat sehingga pesakit semua terjaga. Faiz pon cuba tenangkan aku.Aku seperti tidak boleh kawal perasaan sedih aku kerana inilah pertama kali aku melihat kematian depan mata aku sendiri. Sewaktu kematian Ezam, aku hanya melihat dia sudahpun tidak bernyawa. Tetapi Along, aku lihat sendiri dia tenat. Dia nazak. Kiranya aku baru sahaja bersama-sama malaikat Izrail sebentar tadi. Dan, orang yang terakhir bersama Along disaat nyawanya di ambil adalah Emak, Kak Ana, Angah, aku dan Faiz. Kemudian, Angah menelefon saudara mara aku yang lain akan berita kematian Along. Aku tidak dapat kesan jam berapa Along mula tidak bernafas. Tetapi apa yang aku sedar, jam 12.35 bacaan alat itu baru sahaja menunjukkan pada 0.


9 OGOS 2013 - 2 AM
Sebiji kereta baru tiba dari KL jam 1 pagi. Erwan, Ershad, Siti, Susie dan kak Zura kelewatan dan tidak sempat untuk melihat saat Along masih bernyawa. Lebih-lebih lagi Erwan, abang nombor 3 aku. Aku lihat mereka sedikit kecewa kerana sedikit terlewat. Kemudian, kami di arah ke bilik mayat untuk memandikan jenazah. Sewaktu tiba di sana, aku lihat jenazah Along pon sudah tiba terlebih dahulu dan terbiar di dalam bilik menunggu. Pihak hospital kata, hari ini masih cuti umum, jadi tiada sesiapa boleh memandikan jenazah pada ketika itu. Kami membuat keputusan untuk membawa Along pulang ke Machap. Kini jenazah Along sudah siap sedia untuk di bawa pulang ke Machap, rumah ibu kak Ana menaiki van jenazah. Jenazah Along akan dimandikan dan disembahyangkan di sana. Sekali lagi aku teringatkan sewaktu mengekori van jenazah Ezam satu ketika dulu. Tapi hari ini kami pulang di pagi dinihari yang semua orang masih tidur diulit mimpi. 

9 OGOS 2013 - 3 AM
Semua orang sudah keletihan. Manakan tidak. Sudah lebih 12 jam tidak mandi dan tidak makan dengan sempurna. Setibanya di rumah ibu kak Ana, jenazah Along di baringkan di atas tilam. Walaupun sudah jam 3 pagi, keadaan kawasan rumah itu terang benderang dan ramai jiran tetangga yang datang berziarah. Aku sudah tak mampu lagi untuk menahan mata lalu aku tertidur di samping Faiz sehingga Subuh menjelma. Aku lihat Emak masih setia di sisi jenazah Along dan membacakan surah Yaasin. Tidak letihkah Emak? Kesian Emak..... ='(

9 OGOS 2013 - 10 AM
Orang mula ramai di luar rumah untuk memandikan jenazah Along dan menyembahyangkannya. Saudara mara yang datang semalam di hospital, datang sekali lagi di rumah mak mertua Along. Kali ini aku tidak dapat turut serta bersama-sama Angah untuk memandikan Along. Kalau masa Ezam dulu, aku turut sama memandikan jenazah Ezam. Tapi kali ini hanya waris terdekat sahaja dibenarkan melihat jenazah Along dimandikan. Emak, Erwan, Ershad dan Faiz serta seorang lagi ahli kariah surau memandikan jenazah Along. Aku dan Angah hanya perhatikan dari tepi. Kemudian, selesai sahaja jenazah Along dikafankan, mereka terus melakukan solat jenazah. Ramai! Terlalu ramai sehingga tidak muat ruang tamu saf solat jenazah. Aku berdoa, jika aku mati nanti, akan ada ramai seperti itu juga yang akan menyembahyangkan aku nanti. 

9 OGOS 2013 - 11 AM
Liang lahad sudah siap digali seawal jam 4 pagi lagi. Katanya liang lahad itu sepatutnya untuk seorang wanita di kampung itu juga yang meninggal kelmarin tetapi tidak jadi dikebumikan di situ. Patutlah aku lihat liang lahad tersebut digali agak jauh ke dalam berbanding dengan liang lahad Ezam dahulu. Rupanya kubur itu sudah siap sedia digali untuk seorang wanita. Menitik-nitik air mata aku sewaktu jenazah Along perlahan-lahan di masukkan ke liang lahad. Terputuslah sudah hubungan kami sekeluarga dengan Along bila dia masuk ke dalam liang lahad. Talqin dibacakan dan pusaranya disirami air mawar dan taburan bunga. Alhamdulillah, jenazah Along selamat disemadikan tepat jam 11.30 pagi. Matahari sudah panas. Masing-masing pon mahu pulang segera untuk bersiap menunaikan solat Jumaat.


Surah Al-Fatihah aku sedekahkan untuk Allahyarham Along dan Allahyarham Ezam. Kedua-duanya adik beradik sulung dan bongsu aku. Kedua-duanya memiliki wajah yang hampir serupa, ketinggian yang hampir sama dan kedua-duanya pergi dalam tahun yang sama iaitu tahun 2013. Besar sungguh dugaan kami sekeluarga apabila kehilangan dua orang yang kami kasihi dalam masa yang terdekat. Dan aku dapat rasakan Emaklah orang paling sedih sekali kerana dua orang anaknya sudah tiada lagi. Tidak dapat aku bayangkan apa perasaan seorang emak yang kehilangan anak. Semoga Allah memberi kekuatan dan ketabahan pada Emak. 

Aku bersyukur kerana kami sempat menjaga Along sebelum nyawanya diambil. Tidak seperti arwah Ezam yang pergi tanpa sebarang tanda. Setidak-tidaknya Along sempat beramal sebelum dia benar-benar jatuh sakit. Aku bersyukur kerana akulah orang yang terakhir yang sempat berbual dengannya pada pagi itu. Tapi aku tak sangka yang itulah perbualan terakhir aku dan Along ketika itu. Semoga roh Along dan Ezam tenang di sana. Aku doakan roh Along dan Ezam bertemu di alam sana dan sama-samalah mereka hidup berdua di alam sana. Aku tidak pasti adakah ianya boleh terjadi atau tidak. Wallahua'lam. 



AL-FATIHAH

ALLAHYARHAM EZAM BIN EMBOK ZRIK ( 24 APRIL 1990 - 20 JANUARI 2013 )

ALLAHYARHAM EMRAS BIN EMBOK ZRIK ( 21 APRIL 1974 - 9 OGOS 2013 )



17 comments:

  1. Salam Takziah ezma.Kuatkan hati sebagaimana ila kuatkan hati masa kehilangan anak ila aritu.InsyaAllah..besar ganjaran org yang bersabar hadapi dugaan ni.

    ReplyDelete
  2. Semoga Along Ezma ditempatkan dikalangan orang-orang berimana dan semoga dia tenang di sana. Amin <3


    Sabarrr.

    ReplyDelete
  3. alfatihah..
    akak sabar ya, dugaan dari NYA memang kita tak boleh elak..
    sabar ya, sedih sangat.. jujur airmata ni hampir mengalir.. ya Allah, kuatkanlah hati akak blogger ni dan keluarganya untuk menerima berita ni ya Allah..
    amin.. :(

    ReplyDelete
  4. takziah.. kuatkan semangat. semoga tenang dia di sana

    ReplyDelete
  5. Kuatkan semangat ye..

    Menangis kita baca. T__T

    ReplyDelete
  6. Al-Fatihah utk kedua-duanya...

    Arwah adik k.zai pon mninggal xciden tnpa sbrg tnda gak...Arwah ayah plak mninggal ms tu smua adik-beradik k.zai ada kecuali k.zai...ralat rsnya di situ...huhuhu...moga ezma tabah & slalu la beri kekuatan pd emak

    ReplyDelete
  7. ya allah..takziah ezma..
    detet dr bulan mei..ajal mmg di tgn Dia. semoga ruhnya dalam kalangan org beriman,, amiin

    ReplyDelete
  8. Takziah untuk ezma.
    Semoga mereka ditempatkan dlm golongan org2 yang beriman.
    al-fatihah.

    ReplyDelete
  9. salam takziah sis.. ada hikmah d sebalik apa yang berlaku..

    ReplyDelete
  10. alfatihah...dan takziah..terasa sedih dibaca sampai waktu cerita pemergian along awk..tabahkn semangat ye. smg roh beliau dicucuri rahmat.

    ReplyDelete
  11. sebak hati ni. takziah untuk ezma sekeluarga. semoga roh adik dan abang ezma ditempatkan bersama orang yang soleh. amin...

    ReplyDelete
  12. alfatihah dan takziah..sedih kita baca entry nie..

    ReplyDelete
  13. salam takziah, moga dirahmati oleh-Nya

    ReplyDelete
  14. TAKZIAH....moga roh ditempatkan di tempat orang2 yg beriman ~pn supik~

    ReplyDelete
  15. takziah.
    kita baru jumpa blog awak.
    menangis kita baca entry ni.
    harap awak tabah.

    ReplyDelete

Berbudi bahasalah dalam berbicara. Budi bahasa bukankah budaya kita?