Assalamualaikum and Hello Readers.
Antara sedar atau tidak, hampir 2 bulan arwah adik meninggalkan kami semua. Dan aku hampir setiap malam sebelum tidur, mesti teringatkan dia. Air mata mesti berlinangan. Untuk elakkan mata bengkak esok paginya, aku selalu cepat-cepat tidur dan cuba untuk lupakan sementara waktu.
Apa pon, kami sekeluarga bersyukur kerana hingga hari ini kami telah pun redha dengan apa yang berlaku. Alhamdulillah, banyak perubahan yang berlaku dalam diri masing-masing sejak Ezam pergi tinggalkan kami. Mungkin inilah yang dikatakan ada hikmah disebalik apa yang berlaku.
Jika korang dapat lihat ada payung kertas aku letak di atas pusara arwah. Aku masih ingat lagi. Beberapa minggu sebelum Ezam pergi, Ezam datang ke rumah untuk makan malam bersama. Payung kertas yang aku selalu guna untuk props photoshoot suatu ketika dulu aku letakkan di dapur bersama-sama dengan payung biasa yang lain.
"Kak, nak buat apa simpan payung ni? Ni bukan payung yang orang letak kat kubur tu ke?", ujar Ezam sambil memusing-musingkan payung itu.
"Yeeee!! Biar je kat situ.. Nanti boleh guna... Haishh!! Jangan bukak payung dalam rumah lah! Nanti ular masuk!", aku membalas.
"Mana ular?? Mana?? Takde pon!", gurau Ezam. Aku hanya gelak je bila dia berjenaka. Sebab dia je pandai berjenaka antara kami adik beradik.
Dan payung yang dia buat main tu lah, hari ini aku letakkan di atas pusaranya. Tak sangka dik. Kau tanya Kakak nak buat apa dengan payung tu, dan akhirnya Kakak tahu inilah kegunaannya.
Boleh dikatakan setiap hujung minggu kami sekeluarga akan menziarahi pusara arwah. Hari ini baru aku tahu akan relevan manusia menanam pokok bunga dan meletakkan batu di pusara orang yang sudah meninggal dunia. Astaghfirullah... Aku hampir lupa yang setiap yang bernyawa di muka bumi ini sentiasa berzikir pada Allah. Tidak kiralah pokok, semut-semut kecil, rumput-rumput dan malahan batu-batu juga. Tapi haruslah diingat hanya batu sungai sahaja yang hidup. Kalau batu biasa tu, tidak hidup. Justeru itu, mereka yang telah meninggal dunia setidak-tidaknya dapat menumpang pahala zikir pokok-pokok yang ditanam di atas pusara mereka. Dan kini persoalan aku akhirnya terjawab, kenapa orang Islam menanam pokok di atas pusara.
Kata si tukang penggali kubur, kalau dah cukup 40 hari atau 100 hari, boleh la kalau nak buat kepuk dan batu nisan. Kepuk ni merupakan batu segi empat tepat yang akan mengelilingi pusara manakala batu nisan adalah dua batu yang di letakkan di bahagian kepala dan kaki jenazah di atas kubur. Rupa-rupanya mahal jugak nak buat kepuk kubur ni. Kalau jenis batu marmar dan marble mahu cecah ribuan ringgit jugak. Kalau batu kapur biasa murah je.
Memandangkan Tanah Perkuburan Bukit Teratai adalah tanah perkuburan yang baru, mereka hendak menyeragamkan semua kubur di sana, maka hanya kepuk kubur yang berwarna putih sahaja dibenarkan. Warna lain seperti hitam, oren, biru dilarang sama sekali. Jenis kepuk yang jenis satu tingkat sahaja dibenarkan. Ada bagusnya mereka seragamkan tanah perkuburan ni. Sebab aku pernah pergi ke satu tanah perkuburan di Shah Alam. Masya Allah... Macam-macam warna kubur ada. Oren, hijau, biru, coklat, hitam semua ada. Ada kubur yang tinggi, ada yang berpagar, ada yang rapat sangat dengan kubur disebelahnya dan macam-macam lagi. Pendek kata, serabut sikitlah mata memandang.
Akhirnya, kami sekeluarga menempah kepuk jenis marble dari pihak tukang penggali kubur itu sendiri untuk pusara Ezam. Sekurang-kurangnya dia lebih tahu ciri-ciri kepuk yang diluluskan untuk letak di kubur arwah dan harganya lebih murah. Harga kepuk yang kami tempah hanyalah RM3000 berbanding dengan harga luar yang aku pernah jumpa dekat mencecah RM5k-6k.
"Saya ingatkan kamu semua nak tempah yang batu jenis biasa je. Itu baru RM1050. Tapi saya faham. Keluarga ni kadang-kadang terlampau sayang pada arwah. Duit banyak pon tak bawak ke mana.", kata tukang penggali kubur, Abg Zali.
Mula-mula aku tidak setuju dengan cadangan Angah untuk menempah kepuk yang mahal. Tapi bila Angah cakap, Angah nak rumah Ezam nampak cantik je bila orang datang ziarah. Aku pun akur dan bersetuju. Banyak lagi duit peninggalan arwah Ezam. Kami akan gunakan pada jalan yang betul supaya pahalanya disedekahkan pada Ezam. Sering juga Emak buat tahlil arwah dan memberi sedekah pada qariah surau.
Haaaa... ini adalah hasil pencarian aku di Google. Macam inilah yang kita tidak mahu. Aku tak pasti ini kubur siapa. Tapi mungkin arwah mesti kanak-kanak perempuan yang meminati warna merah jambu. Kalau dilihat nampak cantik dan comel, tapi kalau semua kubur dibuat berdasarkan warna kegemaran si arwah, mahunya jadi colorful tanah perkuburan ni. Apa pon, semuanya bergantung kepada niat dan tujuan seseorang. Kalau jahat niatnya, maka yang jahat jugak lah dia dapat.
Al-Fatihah buat Allahyarham Ezam. Kakak rindu dan sayang Ezam.... =(
p/s: Nak ikutkan hati, aku mahu tunda majlis
perkahwinan kami ke tahun hadapan.
Tapi bila ada yang menasihati,
hidup ni perlu diteruskan,
maka kami akan teruskan.
InsyaAllah. Doakan semoga
urusan kami dipermudahkanNya.
Amin....